SuruhanjayaPerkhidmatan Air Negara


Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
SPAN
SPAN
SPAN
Ringkasan agensi
Ditubuhkan1 Januari 2008 (8 tahun)
Ibu pejabatCyberjaya, SelangorMalaysia
PekerjaKerajaan Malaysia
Menteri bertanggungjawabMaximus Johnity Ongkili, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Eksekutif agensiMohd Ridhuan IsmailKetua Pegawai Eksekutif
Agensi pusatKementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Visi & Misi

Visi
  • Ke arah perkhidmatan bekalan air yang mampan, berdaya harap dan termampu untuk semua
Misi
  • Untuk mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air yang adil, berkesan dan telus

Latar Belakang

Dalam satu sidang khas Parlimen pada pertengahan 2005, Parlimen Malaysia meluluskan pindaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memindahkan perkara-perkara berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah dan Sarawak). Pindaan diwartakan pada 10 Februari 2005 dan ia dikuatkuasakan pada 21 Mac 2005.
Dengan pindaan itu, Kerajaan Persekutuan akan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan. Kerajaan Negeri mengekalkan kuasanya terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan lembangan sungai.
Pada Pertengahan 2006, Parlimen Malaysia meluluskan dua undang-undang yang mengubah cara Malaysia menguruskan perkhidmatan air iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu Akta 654 atau Akta SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air iaitu Akta 655. Akta 654 menggariskan peranan, fungsi dan bidang tugas SPAN manakala Akta 655 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal dan sosial serta perlindungan hak pengguna.

Objektif

  • Mewujudkan suatu struktur perkhidmatan bekalan air dan pembetungan yang telus dan bersepadu untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkesan dan cekap kepada pengguna;
  • Memastikan bekalan air yang tersedia ada dan berkekalan untuk jangka masa panjang termasuk pemuliharaan air;
  • Menyumbang kepada kekekalan alur air dan kawasan tadahan air;
  • Memudahkan kemajuan persaingan untuk menggalakkan ekonomi dan kecekapan dalam industri perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan;
  • Menubuhkan suatu persekitaran pengawalseliaan yang memudahkan kekekalan keupayaan kewangan antara pengendali industri perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan bagi jangka masa panjang;
  • Mengawal selia untuk faedah pengguna bagi jangka masa panjang;
  • Mengawal selia tarif dan memastikan penyediaan perkhidmatan yang berpatutan atas asas ekuiti;
  • Meningkatkan kualiti hidup dan persekitaran melalui pengurusan perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan yang berkesan dan cekap;
  • Menubuhkan suatu sistem kebertanggungjawapan dan pengelolaan antara pengendali industri perkhidmatan bekalan air dan pembetungan; dan
  • Mengawal selia keadaan selamat dan keselamatan sistem bekalan air dan sistem pembetungan.

Formulasi Akta

  • Bagi merealisasikan penglibatan holistik Kerajaan Persekutuan dalam perkhidmatan air, dua rang undang-undang telah diluluskan Parlimen pada Jun 2006 iaitu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air. Kedua-dua rang undang-undang ini diwartakan sebagai Akta pada Julai 2006 iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Akta SPAN, Akta 654) dan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA, Akta 655)
  • Akta SPAN dikuatkuasakan pada Februari 2007 manakala WSIA atau AIPA dikuatkuasakan pada 1 Januari 2008.

Fungsi

Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 menggariskan fungsi Suruhanjaya sebagaimana berikut:
  • Menasihati Menteri tentang segala perkara berhubung dengan objektif dasar kebangsaan bagi undang-undang perkhidmatan bekalan air dan pembetungan dan melaksanakan dan memajukan objektif dasar kebangsaan itu;
  • Melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang perkhidmatan bekalan air dan pembetungan dan menimbangkan dan mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang perkhidmatan bekalan air dan pembetungan;
  • Memastikan daya pengeluaran industri perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan dan memantau pengendali mematuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan, obligasi berkontrak dan undang-undang dan garis panduan yang berkaitan;
  • Menambah usaha bersepadu ke arah peningkatan kecekapan pengendalian industri itu dan secara khususnya pengurangan air tidak terhasil melalui program jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang;
  • Menasihati Menteri tentang mekanisme yang adil dan cekap bagi menentukan tarif yang adil kepada kedua-dua pengguna dan pemegang lesen dan melaksanakan tarif yang telah ditetapkan melalui mekanisme dan alat yang sesuai;
  • Memastikan matlamat pembangunan Negara berkenaan dengan liputan, pembekalan dan akses kepada perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan tercapai;
  • Memastikan pengekalan kualiti air dan perkhidmatan pembetungan secara jangka panjang melalui pembangunan modal kerja yang berterusan;
  • Merumuskan dan melaksanakan rancangan supaya semua permintaan yang munasabah bagi perkhidmatan pembetungan dipenuhi dan melalui perundingan dengan pihak berkuasa yang berkaitan, menyediakan suatu rancangan kawasan tadahan pembetungan yang merumuskan dasar dan cadangan am berkenaan dengan pembangunan apa-apa sistem pembetungan yang baru dan langkah-langkah bagi pembaikan mana-mana sistem pembetungan yang sedia ada;
  • Menjalankan apa-apa fungsi yang diberikan kepadanya di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain; dan
  • Menasihati Menteri secara amnya mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.

.

.