KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sesetengah pengguna mudah diperdaya oleh peniaga dan syarikat yang tidak jujur sehingga sanggup berpisah dengan wang yang susah payah diperoleh hasil titik peluh mereka.
Apa yang berlaku ialah mereka ini akan membuat pembelian tanpa usul periksa setelah mendengar pujuk rayu serta dakwaan peniaga atau syarikat yang begitu licik mahu mengaut untung.
"Dalam era yang serba-serbi canggih dengan kepesatan kemajuan teknologi, ramai pengguna mudah terpedaya dengan dakwaan berkait dengan kesihatan dan kebersihan.
"Antara barang yang menjadi perhatian berat Fomca ialah penapis air dan mesin menjual air," kata Piarapakaran Subramaniam, Pengurus Program, Bahagian Alam Sekitar, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
PENAPIS AIR
Secara umumnya, penapisan atau penurasan adalah proses di mana bahan yang tidak dikehendaki dalam sebarang larutan atau campuran dikeluarkan.
Bahan itu lazimnya ada kaitan dengan masalah kesihatan atau pencemaran alam sekitar.
Menurut Piarapakaran, proses penurasan terutamanya digunakan oleh industri sama ada untuk merawat air atau sisa air.
"Sebagai masyarakat yang prihatin terhadap isu kesihatan, setiap seorang daripada kita mahu teknologi yang terbaik untuk melindungi diri kita dan keluarga kita. Namun demikian, kita perlu berwaspada.
"Perkara yang perlu sentiasa ada dalam kepala kita ialah sama ada alat penuras atau penapis benar-benar melindungi kesihatan. Begitu juga dengan mesin menjual air," katanya.
BIMBANG DENGAN DAKWAAN
Piarapakaran memberitahu Bernama bahawa banyak sekali dakwaan dibuat kononnya minuman selepas menggunakan alat penapis tertentu boleh meningkatkan tenaga dan boleh menyembuhkan penyakit.
"Malahan sesetengah peruncit atau penjual langsung, menggunakan gambar individu serta perakuan untuk menyokong dakwaan yang mereka buat. Sejauh mana kebenaran dakwaan-dakwaan itu? Apakah persijilan yang mereka terima?" tanya beliau.
Bercakap lebih lanjut, beliau berkata terdapat juga alat penapis yang dijual di pasaran yang menapis klorin dari bekalan air, bagaimanapun pengguna tidak diingatkan bahawa air tanpa klorin tidak sesuai untuk disimpan sebelum dididih terlebih dahulu.
Menurut Piarapakaran, 'kekotoran' yang terperangkap di atas lapisan penapis serta bahagian alat penapis perlu juga ditukar secara berkala.
"Kapasiti menyimpan kekotoran dalam penapis adalah terhad. Kandungan kekotoran yang tinggi akan menyebabkan kimia ini dikeluarkan balik ke dalam air yang sudah ditapis," jelasnya.
MESIN MENJUAL AIR
Fomca juga memandang berat tentang mesin menjual air. Dalam hal ini Piarapakaran merujuk kepada tinjauan yang dijalankan Fomca baru-baru ini serta mendedahkan beberapa hasil tinjauan yang agak membimbangkan.
Menurut beliau, Fomca masih menangani isu itu dari semasa ke semasa. "Sesetengah mesin menjual air ditempatkan di lokasi terbuka dan tempat awam. Ada juga yang diletakkan berhampiran longkang dan tong sampah," katanya.
Tinjauan Fomca itu, yang dijalankan di Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Port Dickson, mendapatai kebanyakan mesin menjual air ditempatkan di rumah kedai di taman-taman perumahan.
"Di Port Dickson, kawasan di mana kami membuat tinjauan, mesin menjual air diletakkan bertentangan dengan pantai, berhampiran jalan dan longkang," jelasnya.
Satu lagi perkara yang ingin diketengahkan oleh Piarapakaran ialah isu kebersihan muncung tempat keluar air mesin berkenaan.
"Sumber air untuk mesin menjual air adalah dari bekalan air domestik yang telah melalui proses penurasan. Apabila pengguna membeli air di dalam botol yang ditutup kemas, kita sedia maklum yang ianya bersih, sebahagian besarnya kerana ia mempunyai persijilan daripada Kementerian Kesihatan.
"Dalam hal mesin menjual air, siapa yang memberi pengiktirafan kepada mesin menjual air ini? Daripada siasatan kami, seorang pengusaha memberitahu bahawa mesin tersebut diberikan lesen sementara yang boleh diperbaharui di bawah kategori penjaja sementara," ujarnya.
Menurut Piarapakaran, dalam kedua-dua hal penapis air dan mesin menjual air, yang menjadi persoalan ialah kesahihan dakwaan yang dibuat.
Peralatan ini juga memerlukan pengiktirafan agensi kerajaan yang berkaitan.
"Dalam hal ini, Fomca meminta agensi kerajaan yang berwajib menjalankan penguatkuasaan serta mengeluarkan persijilan bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa pihak yang gemar membuat dakwaan palsu," katanya.
PANDUAN MENGENAI AIR BOTOL
Memandangkan kualiti air yang keluar daripada paip di rumah kadang kala tidak memuaskan, ramai pengguna yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli air botol.
Berikutan permintaan air botol yang dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini, Piarapakaran memberi beberapa petua kepada pengguna.
Katanya pengguna perlu mampu membezakan antara Air Galian Semula Jadi (NMW) dan Air Minuman Yang Dibotolkan (PDW).
"NMW didefinisikan sebagai air bumi yang diambil untuk penggunaan manusia dari sumber air bawah tanah. Ia mengandungi pelbagai galian seperti magnesium, kalsium, fluorida, sodium dan sulfat.
"Oleh yang demikian, NMW mesti mematuhi standard yang disarankan di dalam Jadual 26 (Perintah 360A(7), Akta Makanan 1985, oleh Bahagian Keselamatan dan Kawalan Mutu Makanan, Kementerian Kesihatan," jelasnya.
Bercakap mengenai PDW, beliau berkata ia haruslah air daripada bekalan yang dirawat dan dibotolkan untuk kegunaan minuman. Sumber air bagi air itu adalah air daripada bekalan air paip, air larian permukaan atau air bawah tanah.
"Cara paling mudah untuk membezakan antara kedua-dua jenis air yang dibotolkan ini ialah menerusi warna penutup botol. Penutup botol berwarna adalah untuk air galian semula jadi sementara botol penutup putih untuk air minuman yang dibotolkan," katanya.
Piarapakaran berkata selain daripada warna penutup botol, pengguna juga dinasihatkan supaya membaca dan memahami label pada botol dengan teliti bagi memastikan nombor pelesenan yang disahkan terdapat pada label air yang dibotolkan.
PANDUAN MEMILIH SISTEM RAWATAN AIR
Sebagai satu lagi usaha untuk membantu pengguna membuat pilihan bijak dalam memilih sistem rawatan air terutamanya apabila berdepan dengan dakwaan palsu, Fomca memberikan beberapa petua berikut:-
* Kenal pasti masalah kualiti air yang anda alami serta pencemar utama yang terdapat di dalam air itu. Ini boleh anda lakukan dengan memantau kegiatan di sekitar kawasan kediaman anda, sebagai contoh, pencemaran perindustrian dan loji rawatan kumbahan.
* Tentukan bentuk rawatan yang diperlukan untuk kediaman anda, sama ada rawatan pada paip utama (POE) atau paip tertentu (POU). Kebanyakan masalah pencemaran seperti kekotoran air, bau, karat atau mangan (manganese) memerlukan rawatan POE sementara rawatan POU hanya perlu dibuat sekiranya kemungkinan terdapat kesan kesihatan akibat bahan pencemaran seperti nitrat dan ammonia. Rawatan paip tertentu boleh juga digantikan dengan memastikan air paip dimasak sebelum digunakan.
* Kenal pasti jenis rawatan yang berkesan untuk menghilang atau mengurangkan bahan pencemar. Sebagai contoh, penapis karbon teraktif merawat bahan organik yang menyebabkan masalah bau dan rasa. Sesetengah reka bentuk membasmi klorin dan terdapat juga jenis tertentu yang menghapus baja kimia dan detergen serta boleh merawat logam berat seperti plumbum dan kuprum.
* Belilah sistem rawatan daripada penjual yang boleh dipercayai. Periksa dengan orang lain yang menggunakan peralatan itu. Pastikan peralatan berkenaan telah diberi persijilan atau pengesahan untuk fungsi penggunaannya.
* Pastikan sama ada sistem itu mempunyai kemampuan mencukupi untuk memenuhi keperluan air di rumah pada tekanan dan kadar aliran air yang anda terima daripada pengendali air.
* Memahami keperluan penyelenggaraan dan membuat keputusan sekiranya anda mampu melakukan operasi rutin penyelenggaraan dan fahami bagaimana untuk memastikan peralatan itu berfungsi secara berkesan.
-- BERNAMA